Info EPL & La Liga dalam Bahasa Melayu

Sepintas lalu

Entri terkini berada di bawah kolum sepintas lalu. Sila skrol ke bawah.

Perkembangan terkini spekulasi dan fakta perpindahan empat gergasi EPL (Telegraph)
Klik Manchester United, Chelsea, Arsenal dan Liverpool untuk mengetahui pemain yang hangat diperkatakan bakal memantapkan saingan empat pasukan teratas EPL itu. Perkembangan terkini pesaing Piala UEFA, Everton turut dikemas-kini.



Isnin, 4 Ogos 2008

Tiada pemain sub sehebat Solskjaer







BINTANG lagenda Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer mungkin berada di belakang senarai pemain bertaraf bintang di Old Trafford, tetapi tidak ada sesiapa pun dapat menafikan sumbangannya dalam memastikan penguasaan Man U di peringkat liga atau Eropah.

Jaringan pada minit terakhir dalam Liga Juara-juara Eropah pada 1999 pasti kekal sebagai antara jaringan terhebat dalam kejohanan itu apabila ia membantu Man U menumpaskan Bayern Munich, meskipun kelab gergasi Jerman itu mendahului hampir 90 minit.

Dalam 366 penampilan bersama-sama Red Devils, pemain Norway itu menjaringkan 126 gol, selain membantu Man U menjuarai EPL sebanyak enam kali, iaitu pada 1996-97, 1998-99, 1999-00, 2000-01, 2002-03 dan 2006-07.

Pemain yang berpindah dari kelab Molde FK ke Man U dengan nilai £1.5juta itu, turut memastikan gergasi Inggeris itu merangkul Piala FA pada 1999 dan 2004 dan Piala Liga (2006).

Solskjaer tidak meninggalkan Old Trafford meskipun bersara pada musim lalu, sebaliknya kekal sebagai jurulatih penyerang pasukan pertama pada musim lalu dan pada musim depan, beliau akan mengendalikan pasukan simpanan kelab terbabit.

Solskjaer tampil dalam perlawanan testimonial Man U-Espanyol pada 2 Ogos lalu, sekali gus menyaksikan permainan berkesudahan kemenangan pasukannya dengan satu gol.

2R, 2 Liga!



LIGA Perdana Inggeris (EPL) dan La Liga akan bermula pada bulan ini tetapi berita seputar perpindahan pemain semakin menarik dengan dua bintang dari dua liga hebat di dunia, disebut-sebut untuk saling bertukar liga.

Drama perpindahan Cristiano Ronaldo dari Manchester United semakin hampir ke klimaksnya apabila Real Madrid dilaporkan bersedia membuat bidaan setinggi RM387juta (£60juta) dengan bintang Portugis itu didakwa akan mendesak pengurusan Old Trafford untuk menjualnya.

Pengurus Man U, Sir Alex Ferguson terpaksa melakukan tugas besar untuk memujuk Ronaldo kekal di Old Trafford yang kali ini terpaksa berbuat demikian tanpa pembantunya, Carlos Queiroz, yang kini menjadi Jurulatih Portugal.

Queiroz banyak memainkan peranan penting dalam memastikan Ronaldo terus di Old Trafford pada musim lalu selepas cuba dipancing Real Madrid tetapi kali ini Ferguson harus memujuk pemain terbaik di England itu sendirian.

Chelsea pula masih terkial-kial mendapatkan khidmat bintang yang boleh menyuntik elemen permainan menarik dalam pasukan yang hanya berpuas hati di tempat kedua sama ada di liga tempatan atau Eropah, tetapi boleh bergembira buat sementara waktu apabila Robinho dilaporkan mendesak Real Madrid untuk membenarkannya ke Stamford Bridge.

Sekiranya Real Madrid berjaya mendapatkan khidmat Ronaldo, besar kemungkinan juara La Liga itu bersedia melepaskan bintang Brazil berkenaan.

Robinho didakwa meminta Presiden Real Madrid, Ramon Calderon dan pengurusnya, Bernd Schuster, untuk melepaskannya ke Chelsea kerana berhasrat untuk berpindah ke kelab itu seperti Ronaldo yang berkeinginan untuk tampil di kelab berkenaan.

Pengumuman

Harap maaf kerana blog ini tidak dapat diupdate dalam tempoh 27 Julai hingga 3 Ogos kerana bertugas di luar negara yang tidak mempunyai kemudahan untuk sambungan internet. Blog ini kembali diupdate bermula 4 Ogos.

Sabtu, 26 Julai 2008

Bola kadang-kala membosankan, atau...

Gambar: Jon Hrusa/EPA

BOLA sepak, kadang-kala membosankan. Atau mungkin tumpuan berlebihan pada spekulasi perpindahan Cristiano Ronaldo ke Real Madrid membosankan Wayne Rooney? Atau pun berada di luar negara sehingga tidak boleh berfoya-foya juga boleh bikin Ronn boring?

Rooney menyertai Manchester United dalam rangka perlawanan persahabatan di Afrika termasuk bertemu dengan Portsmouth di Abuja, Nigeria, sebelum berdepan dengan Kaizer Chiefs di Afrika Selatan.

Dalam perkembangan lain, Manchester United dilaporkan bakal membayar RM207.3juta (£32juta) untuk mengubah perjanjian pinjaman Carlos Tevez kepada perjanjian tetap yang menyaksikan penyerang Argentina itu menjadi pemain tetap Man U.

Trivia bola sepak: Muntari


Sulley Ali Muntari

Dari: Portsmouth

Ke: Inter Milan

Sebelum menyertai kelab Itali, Udinese, Muntari hampir-hampir berhijrah ke Manchester United selepas membuat persembahan yang memukau dalam latihan di Old Trafford tetapi Red Devils tidak mencapai persetujuan mengenai bayaran dengan Liberty Professionals di Ghana.

Hidup baru buat Robinson di Blackburn


PENJAGA gol Tottenham Hostpur, Paul Robinson, yang dikaitkan dengan banyak insiden bolos memalukan, bakal memulakan hidup baru di Ewood Park apabila Blackburn membelinya dengan bayaran RM22.7juta (£3.5juta).

Robinson bakal mengharapkan dapat memulihkan kreadibilitinya sebagai penjaga gol selepas melalui kemerosotan bermula daripada kesilapannya sebagai penjaga gol England dan hilang posisi penjaga gol pertama di bawah Revolusi Juande Ramos.

Ramos lebih cenderung menggunakan khidmat penjaga gol Radek Cerny, selain baru-baru ini membeli seorang lagi penjaga gol, Heurelho Gomes.

Jumaat, 25 Julai 2008

Deco: Usia bukan penghalang

Siapa lebih tua, wahai orang tua?

DENGAN usia 30 tahun, pemain Portugal yang berasal dari Brazil, Deco, yakin masih mampu memberikan sumbangan dalam memastikan kelab barunya, Chelsea, kembali mengungguli Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim ini.

Keyakinan bekas pemain Barcelona itu sebagai sahutan terhadap komen sinis Pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson, yang menyindir Chelsea sebagai pasukan yang meningkat usia, sekali gus terpaksa berhempas-pulas untuk menamatkan penguasaan kelab juara EPL itu dua musim berturut-turut.

Berbekalkan pengalaman di Portugal lewat Porto dan Sepanyol melalui Barcelona, Deco yakin dapat menggemblengkan tenaga serta skilnya di barisan tengah bersama-sama Frank Lampard yang kini berusia 30 tahun dan Michael Ballack yang berumur 31 tahun.

Deco yang turun dalam perlawanan persahabatan dengan Guangzhou Pharmaceutical yang berakhir dengan kemenangan Chelsea, 4-0, bersedia untuk menjana kemenangan kelab Inggeris itu.

Barcelona mengamuk

BARCELONA membelasah kelab Liga Perdana Scotland (SPL), Hibernian, dalam perlawanan persahabatan di Murrayfield yang menyaksikan kesudahan 6-0.

Josep Guardiola meraikan kemenangan pertamanya sebagai Pengurus Barca apabila anak buahnya mengamuk dengan dua jaringan daripada Eidur Gudjohnsen, manakala Lionel Messi, Pedro, Bojan dan Yaya Toure masing-masing menjaringkan satu gol.

Khamis, 24 Julai 2008

Bola kempis: Sir Alex Furgeson

Tugas pertama Fergie dan pembantu barunya ialah membuat penentuan dengan Ronaldo. Oleh Alexandra Garman.

Siapa benteng terakhir England? Robinson? James? Bukan, Almunia!

Sebut betul-betul: Almunia!

SELEPAS merampas jersi penjaga gol nombor satu Arsenal, Manuel Almunia bersedia untuk melancarkan kudeta (rampasan kuasa) sekali dengan mengambil alih posisi benteng terakhir England apabila beliau layak menjadi warga negara British.

Dengan menampilkan persembahan yang kebal di utara London, peminat The Gunners mengwar-warkan namanya supaya disenaraikan dalam pasukan England pada musim lalu.

England yang kontang daripada penjaga gol hebat, Capello mungkin mahu menguji penjaga gol berbangsa Sepanyol itu untuk menjaga gawang Three Lions.

Sepanyol yang sudah mempunyai senarai penjaga gol seperti Casillas dan Valdes, mungkin mendorong Almunia beralih ke negara jirannya.

Penjaga gol berusia 31 tahun itu menerima pasport British pada 29 Disember ini, tepat pada masanya untuk memainkan peranan penting dalam ujian kelayakan Piala Dunia, sekiranya Capello bosan pada David James.

Penyerang yang tidak gembira


DJIBRIL Cisse mahu pulang ke Liga Perdana Inggeris (EPL)? Tidak ada pasukan di EpL yang sanggup membeli sesiapa saja melainkan Manchester City. Cisse yang dilaporkan tidak gembira di kelabnya sekarang, Marseille, kerana keluarganya masih di Cheshire, England. Dengan barisan serangan City yang tumpul seperti yang diperlihatkan pada musim lalu, apa salahnya pengurusnya, Mark Hughes bergantung harap pada penyerang yang sebelum ini bergelut dengan masalah kecederaan?



NAMPAKNYA ramai penyerang yang tidak gembira. Didier Drogba tidak terkecuali dan kali ini dikaitkan kepada pertukaran pemain dengan penyerang Real Madrid, Robinho. Selain Real Madrid, musuh ketatnya, Barcelona turut bersedia menawarkan 15 juta Euro untuk mendapatkan khidmat penyerang itu.

Rabu, 23 Julai 2008

Perlawanan persahabatan EPL

PEMAIN tengah Aston Villa, Gareth Barry, yang berura-ura untuk berhijrah menjadi mangsa ejekan dalam pertembungan persahabatan kelabnya dengan Walsall di Stadium Bescot.

Barry yang meletakkan destinasi pilihannya pada Liverpool sebelum ini, didenda dan tidak dibenarkan memasuki pusat latihan awal bulan ini selepas mengkritik Pengurus Aston Villa, Martin O'Neill.

Dalam perlawanan persahabatan itu, Aston Villa menumpaskan Walsall dengan tiga jaringan berbalas dua melalui dua jaringan Shaun Maloney dan satu gol oleh Wayne Routledge, manakala pasukan tuan rumah beroleh jaringan melalui Alex Nicholls serta Patrick Suffo.

Sementara itu di Stadium Haladas VSE, pasukan pemain muda Arsene Wenger gagal menunjukkan taring mereka selepas terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri satu sama dengan pasukan dari Hungary, Szombathelyi Haladas.

Tuan rumah mendahului jaringan melalui Krisztian Kenesei pada minit ke-25 dengan mengambil kesempatan kelemahan benteng pertahanan Arsenal, sebelum Theo Walcott menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-42.

Wigan Athletic pula terpaksa akur dengan pasukan Bundesliga, Eintracht Frankfurt di Austria selepas pasukan itu menjaringkan gol melalui Amanatidis dan Markus Steinhofer dengan keputusan 2-0.

Nasib Wigan turut dikongsi pendatang baru Liga Perdana Inggeris (EPL), Stoke City yang tumpas kepada FC Nurnberg di Stainach, Austria, dalam perlawanan yang menyaksikan hanya satu gol dijaringkan.

Everton pula menang tipis dalam perlawanan persahabatan dengan Preston di Deepdale melalui jaringan tunggal Andrew Johnson yang dikaitkan dengan perpindahan.

Hull pula menang selesa 3-0 ke atas Chesterfield dengan gol daripada Geovanni, Dean Windass dan Caleb Folan.

Dua gol pada lewat permainan memberikan kelegaan kepada West Brom yang terikat 2-2 dalam perlawanan persahabatan dengan di Shrewsbury.

Selasa, 22 Julai 2008

Pemain terbaik dunia, bukan Kaka, bukan Ronaldo, tapi Amr Zaki!

Sebut betul-betul nama saya: Amr Zaki!

WIGAN Athletic berjaya mendapatkan penyerang paling prolifik berdasarkan gol setiap permainan dalam senarai Fifa, Amr Zaki dari kelab Mesir, El Zamalek.

Pemain berusia 25 tahun itu, berkeyakinan penuh untuk mencipta nama di England selepas membantu negaranya memenangi Piala Afrika dua tahun berturut-turut.

Portsmouth mengganas, Blackburn kecundang

PETER Crouch menjaringkan dua gol pertamanya dengan Portsmouth dalam perlawanan persahabatan menentang Bournemouth, sekali gus seolah-olah membuktikan kepada Rafael Benitez ketajaman naluri penyerangnya.

Crouch menjaringkan dua gol itu pada separuh masa kedua dalam perlawanan yang menyaksikan Portsmouth menumpaskan kelab yang pernah dikendalikan Harry Redknapp dengan keputusan 4-1.

Sulley Muntari memulakan jaringan pada separuh masa pertama, sebelum Crouch mengganas dengan sepakan percuma sebelum menanduk masuk gol ketiga, manakala rakan penyerangnya, Jermain Defoe menjaringkan gol terakhir.

Bournemouth mendapat gol sagu hati pada minit ke-80.

Di AUSTRIA, Blackburn Rovers, Paul Ince, mendapat pengajaran yang menyakitkan apabila pasukannya tewas kepada pendatang baru Bundesliga, TSG 1899 Hoffenheim dalam perlawanan persahabatan.

Blackburn hanya berjaya menjaringkan satu gol melalui jaringan penyerang Benni McCarthy yang melalui musim lalu yang mengecewakan.

Hoffenheim memulakan rentaknya pada minit keenam separuh masa kedua melalui dua jaringan Christoph Janker dan satu gol oleh Matthias Jaissle.
 

blogger templates | Make Money Online