
TEKA-TEKI siapa kapten pasukan England terjawab apabila jurulatihnya, Fabio Capello, mengekalkan armband itu kepada John Terry, manakala penolong kapten pula diserahkan kepada Rio Ferdinand, sekali gus mengetepikan Steven Gerrard.
Terry yang turut menjadi kapten Chelsea bakal membawa tugas berat itu dalam perlawanan persahabatan dengan Republik Czech, Rabu ini.
Ini menjawab spekulasi tanggungjawab kapten pasukan akan beralih kepada Ferdinand, meskipun pemain pertahanan Manchester United itu hanya baru mengambil alih tugas di peringkat kelab ekoran kecederaan Gary Neville.
Terry sendiri mengakui terkejut tetapi Capello menegaskan pemilihannya berdasarkan personaliti unggul yang dimiliki pemain pertahanan Chelsea itu.
"Saya tidak pernah mengaku kalah dalam menunaikan tanggungjawab itu dan tidak akan berbuat demikian," kata Terry, lalu menyambung, "Memang saya ada mendengar bisik-bisik bahawa Rio akan mengambil alih sehingga saya sedikit terkejut, tetapi saya akan menunaikannya sebaik mungkin. Sasaran saya sekarang ialah untuk membantu pasukan melayakkan diri ke Piala Dunia dan itulah yang akan kami lakukan."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan