
AKHIRNYA teka-teki destinasi bintang sensasi Brazil, Ronaldinho, terjawab apabila pemain itu bersetuju menandatangani kontrak perpindahan bernilai RM108juta (€21juta) ke AC Milan hari ini.
Kontrak yang berkemungkinan meningkat kepada RM128.6juta (€25juta) itu, mengekalkan Ronaldinho di kelab Itali itu sehingga 30 Jun 2011.
“AC Milan dan Barcelona sudah mencapai perjanjian pada prinsipnya membabitkan perpindahan Ronaldinho.
“Pemain itu akan berada di Milan esok untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dan menandantangani kontrak,” kata kenyataan AC Milan.
AC Milan yang menamatkan saingan Serie A pada kedudukan kelima musim lalu akan bersaing dalam Piala UEFA, sekali gus berjaya menewaskan usaha kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City untuk mendapatkan khidmat pemain berusia 28 tahun itu.
Ronaldinho menghabiskan lima musim di Nou Camp dan membantu kelab Sepanyol itu merangkul Liga Juara-juara pada 2006, selain memenangi mahkota liga pada 2005 dan 2006.
Pemain Brazil yang dinamakan FIFA World Player of the Year pada 2004 dan 2005 itu, dibenarkan meninggalkan Barcelona selepas mengalami kemerosotan mutu dan kecergasan pada musim lalu. (ESPNsoccernet)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan